Pelajar Maut Keguguran Terkulai Di Resort, Kekasih Panik - KOTA BHARU : Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah agama di Pasir Mas, dekat sini, panik apabila teman wanitanya tiba-tiba rebah dan pengsan dipercayai akibat keguguran yang menyebabkan pendarahan teruk sebelum meninggal dunia di sebuah resort di Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Sultan Ibrahim (1), Pasir Mas, pergi ke resort berkenaan dengan membonceng motosikal ditunggang teman lelakinya, kira-kira jam 9 pagi.
Sebaik tiba di resort berkenaan, teman lelaki mangsa yang juga berusia 17 tahun, mendaftar masuk sebuah bilik di situ, namun difahamkan, sejurus tiba di depan bilik itu, gadis terbabit ‘tumpah darah’ teruk dipercayai akibat keguguran.
Panik dengan situasi dihadapi itu, teman lelaki mangsa memaklumkan kejadian menimpa teman wanitanya kepada seorang petugas di kaunter penyambut tetamu resort berkenaan untuk mendapatkan bantuan.
Pemuda berkenaan dikatakan memberitahu teman wanitanya pengsan dalam bilik, namun apabila diperiksa, gadis terbabit didapati sudah meninggal dunia.
Sumber memberitahu, pekerja resort yang bergegas ke bilik berkenaan menemui mangsa dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah di bahagian pinggang ke bawah, lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pelajar perempuan yang mengalami pendarahan serius itu kemungkinan keguguran sehingga membawa kepada kematiannya. Bagaimanapun, setakat ini, usia kandungan gadis berkenaan belum diketahui.
Sementara itu, seorang guru sekolah berkenaan yang enggan namanya disiarkan memberitahu, pelajar itu ponteng selepas dihantar ibunya ke sekolah bersama seorang adiknya, pagi semalam.
“Dia seorang pelajar yang pendiam dan tidak menghadapi masalah disiplin walaupun tidak tergolong sebagai pelajar cemerlang dalam pelajaran,” katanya.
Menurutnya, sepanjang pengetahuannya pelajar terbabit mempunyai perwatakan yang baik dan sering solat berjemaah di masjid serta pernah menyertai kegiatan agama di sekolahnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Datuk Amir Hamzah Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, pihak polis yang menerima laporan kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat pendarahan teruk.
Katanya, siasatan awal dilakukan mendapati mangsa mengalami pendarahan selepas keguguran dan polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat yang mengakibatkan kematiannya.
“Polis sudah menghantar mayat mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), untuk dibedah siasat. Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya. – paapaada.blogspot
0 comments:
Post a Comment