Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mungkin mengambil langkah menyita harta lelaki yang ingkar membayar nafkah kepada anak dan bekas isteri, seperti yang diperintahkan oleh mahkamah syariah.
  
Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Persekutuan Datuk Seri Md Yusup Che Teh berkata ini kerana tindakan memenjara bekas suami yang gagal melunaskan nafkah anak dan bekas isterinya didapati tidak berkesan.
  
Beliau memberi contoh satu kes di Selangor membabitkan seorang lelaki yang terus ingkar perintah mahkamah, sekalipun telah dipenjarakan selama 10 hari atas kesalahan enggan membayar nafkah anak dan bekas isteri.
  
Md Yusup ditemui pemberita selepas mewakili Ketua Hakim Syarie JKSM Tan Sri Ibrahim Lembut menyampaikan pendahuluan nafkah berjumlah RM800,000 kepada 21 penerima yang sedang menunggu bekas suami membayar nafkah seperti yang diperintahkan mahkamah syariah dalam kes penceraian atau tuntutan nafkah masing-masing.
  
Wang pendahuluan bagi menampung kehidupan wanita dan anak mereka untuk tempoh enam bulan itu adalah daripada Dana Akaun Amanah BKS Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan akan dikutip semula oleh BKS daripada bekas suami terbabit.
  
Mengulas lanjut, Md Yusup berkata bekas suami terbabit juga berdepan tindakan undang-undang jika enggan membayar balik wang pendahuluan BSK itu.
  
Terdahulu, Ibrahim dalam teks ucapan yang dibaca Md Yusup, berkata pendahuluan nafkah itu diberi bagi meringankan beban ibu tunggal terutama ketika proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah oleh mahkamah syariah.
  
"Bantuan pendahuluan ini hanya untuk penerima yang layak dan bagi tempoh enam bulan atau sehingga satu tempoh lanjutan yang diluluskan oleh satu jawatankuasa yang dilantik khas," katanya.
  
Menurut Ibrahim BSK JKSM yang ditubuhkan pada 2009 itu menerima peruntukan RM15 juta secara one-off daripada kerajaan persekutuan dan JAKESS pula menerima RM300,000 bagi tujuan itu pada 2011 selain sumbangan RM200,000 daripada Lembaga Zakat Selangor.
  
Katanya setakat April tahun ini, BSK JKSM telah mengeluarkan RM550,879 kepada penerima di seluruh negara dan berjaya mengutip semula RM47,800.

Di Selangor, sejumlah RM153,050 telah disalurkan kepada 43 penerima setakat ini, katanya.
  
- Bernama