Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini tidak dapat mengelak dari menjawab isu kelulusan sekolah menengah Tamil ketika perkara itu dibangkitkan dalam satu majlis yang dihadirinya di Kuala Lumpur.
Perkara itu dibangkitkan oleh presiden Parti Makkal Sakhti R Thanenthiran, yang menjadi juruacara majlis perasmian acara berhubung sastera Tamil.
Beliau meminta Muhyiddin, yang juga menteri pendidikan, untuk meluluskan sekolah menengah Tamil dalam ucapan pembukaannya.
“Kita sudah merdeka selama hampir 57 tahun dan ada banyak sekolah menengah Cina tetapi tidak ada satu pun sekolah menengah Tamil.
“Saya tahu Muhyiddin sensitif dan prihatin pada masyarakat India. Oleh itu, saya percaya permintaan ini adalah perkara yang akan dipertimbangkannya dengan serius,” katanya.
Muhyiddin yang menghadiri majlis tersebut sebagai tetamu kehormat seterusnya menjawab isu berkenaan dengan berhati-hati, selepas upacara memakai kalungan bunga.
Katanya, beliau perlu berhati-hati dalam menjawab isu sekolah menengah Tamil kerana kerajaan sudahpun menubuhkan dasar pendidikan negara.
“Sama ada sekolah menengah Tamil diperlukan dan sesuai, perlu dikaji dengan menyeluruh,” katanya.
Muhyiddin turut membangkitkan mengenai usaha kerajaan persekutuan untuk mempromosi pendidikan Tamil, termasuk membina sekolah rendah Tamil.
Katanya, beliau akan memastikan sekolah Cina dan Tamil akan terus menjadi sebahagian dari sistem pendidikan kebangsaan. – Malaysiakini.com
0 comments:
Post a Comment