Monday, December 30, 2013

Ahli-ahli Majlis Perbandaran Selayang. — Gambar oleh Choo Choo May
SELAYANG, 15 Nov — Ahli majlis membantah keras keputusan pertukaran Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Aala ke Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan tidak menolak ia bermotif politik ekoran pembinaan kondominium kontroversi di Batu Caves.
 
Ahli majlis MPS, A. Rahim B. Ahmad Kasdi berkata tindakan tergesa-gesa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA ) nyata mempunyai motif terselindung hingga menyebabkan YDP menjadi mangsa politik kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Notis mengejut ini juga mengundang beberapa persoalan terutama berkaitan dengan pendedahan MPS ke atas projek kontroversi kondominium di Batu Caves.
"Ia juga menyebabkan secara tidak langsung YDP menjadi mangsa politik hingga beliau ditukarkan," kata A. Rahim dalam satu sidang media di ibu pejabat MPS petang ini.

Dalam sidang media yang turut dihadiri 14 ahli majlis, A. Rahim tidak menolak pertukaran YDP ini akan mengganggu perjalanan  jawatankuasa bebas khas yang ditubuhkan kerajaan negeri Selangor bagi menangani isu tersebut.
"Ya, ia mungkin akan mengganggu jawatankuasa khas kerajaan negeri yang ditubuhkan untuk menyelesaikan isu ini.
"YDP yang mengendalikan kes ini sejak awal lagi, kalau dia ditukarkan bagaimana jawatankuasa mahu mencari jalan penyelesaian?," tambah beliau lagi.

Dalam laporan The Malaysian Insider pagi tadi, usaha mencari jalan penyelesaian isu di Batu Caves semakin rumit apabila Datuk N Sadasivan menolak tawaran kerajaan negeri Selangor sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.

MPS antara pihak yang memainkan peranan aktif di dalam pendedahan minit mesyuarat dan juga bukti projek Dolomite Park Avenue di Batu Caves tersebut telah diluluskan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN).
Di samping itu, seorang lagi ahli majlis Abdul Majid Hasan mendakwa arahan daripada JPA tersebut sebagai tidak wajar memandangkan ketika ini MPS sibuk dengan urusan pentadbiran dan pengurusan yang perlu diselesaikan.

"Tindakan ini mengganggu urusan pentadbiran MPS, terutamanya pada hujung tahun ini memandangkan kami sedang dalam perancangan pembentangan bajet," kata beliau.
Abdul Majid juga menegaskan keputusan tersebut juga sama sekali bercanggah dengan perundangan dan membelakangi kuasa kerajaan negeri.

"Ia bercanggah dengan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang jelas menyatakan memberi kuasa mutlak kepada kerajaan negeri untuk melantik YDP Pihak Berkuasa Tempatan," kata Abdul Majid yang tidak menolak akan mengambil tindakan undang-undang bagi membantah arahan JPA tersebut.

Isu kontroversi kondominium di Batu Caves semakin hangat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika rumah terbuka MIC di Batu Caves berkata BN akan membatalkan projek berkenaan sekiranya parti pemerintah itu berjaya merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Ekoran kenyataan Najib itu juga, pemimpin PR Selangor membidas janji itu dengan menyifatkan ia sebagai rasuah politik kepada pengundi masyarakat India.

Pemimpin PR juga membidas Najib sebagai tidak bertanggungjawab kerana menggunakan isu sensitif semata-mata untuk menarik pengundi kaum India.
“Ia adalah rasuah... Saya rasa adalah sesuatu yang pelik seorang PM berkata begitu,” kata ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Selangor, Xavier Jayakumar kepada The Malaysian Insider.
“Malahan dengan memberi ucapan kepada masyakat dikategorikan sebagai berpendapatan rendah secara demikian... ia sesuatu yang pelik.

“Mereka tidak memiliki jaminan daripada segi kesihatan, pendidikan dan perumahan seperti diketahui tetapi kamu memainkan janji seperti ini di depan mereka.
“Lebih baik beritahu mereka — kamu akan lebih teruk jika kamu tidak lakukan perkara ini (undi kepada BN) dan saya (PM) tidak kisah jika kamu tidak lakukannya,” tambah beliau lagi.
30 Oktober lalu, kerajaan negeri Selangor memberikan arahan untuk menghentikan pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves serta melantik badan penyiasat bebas.

Projek kondominium Dolomite Park Avenue yang dibangunkan oleh Dolomite Properties Sdn Bhd, adalah isu sensitif kerana projek tersebut berhampiran dengan Batu Caves, tempat keagamaan penganut Hindu kira-kira 1.7 juta orang di kawasan bandar di Selangor. 
The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!