Bible bahasa Inggeris yang turut mengandungi tulisan jawi dikesan diedar di sekolah di negeri ini dipercayai untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan pelajar Islam.
Penyebaran itu dipercayai dilakukan oleh dua lelaki di hadapan sebuah sekolah menengah di Jelutong, jam 12.30 tengah hari kelmarin.
Mereka yang berpakaian kemas didapati mengedarkan Bible kepada kira-kira 50 pelajar termasuk pelajar Islam yang sedang masuk dan keluar sekolah ketika waktu pertukaran sesi persekolahan pagi dan petang itu.
Pengerusi Persatuan Mukabuku Pulau Pinang, Salleh Ismail, berkata perbuatan dipercayai dilakukan oleh kakitangan gereja itu menyalahi Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam.
Beliau berkata, pihaknya percaya ia sengaja dilakukan untuk mencabar kesabaran umat Islam selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, membangkitkan semula isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu dalam perutusan sempena Hari Krismas, baru-baru ini.
Katanya, sejak lebih 50 tahun negara merdeka, kejadian penyebaran agama Kristian di kalangan umat Islam tidak pernah berlaku tetapi ia mula timbul sejak Kerajaan DAP Pulau Pinang dipimpin Guan Eng mula memerintah.
“Sehubungan itu, kami membuat laporan polis di Balai Jelutong, di sini, tengah malam tadi (semalam) untuk mendesak supaya satu siasatan dibuat oleh polis peringkat negeri berhubung penyebaran dakyah agama lain kepada umat Islam serta mendesak Kerajaan Pusat menguatkuasa tindakan mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. sumber
0 comments:
Post a Comment