KUALA LUMPUR – Persatuan Rangkaian Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPNA) mengucapkan tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mengambil tindakan tegas untuk membendung jenayah.
Pengerusinya, Alex Chandran berkata, ucapan tahniah turut diberikan kepada PDRM khusunya Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana bertindak profesional dalam menangani situasi jenayah yang semakin meningkat dalam negara.
“Tindakan yang diambil PDRM menghantar isyarat jelas kepada masyarakat Malaysia bahawa tidak perlu takut menjalani kehidupan yang normal.
“Langkah tegas ini juga bertepatan ketika ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan untuk menyerang kredibiliti dan imej polis dan bukan menyokong pasukan keselamatan pada masa yang mencabar ini,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Alex berkata, meskipun pihak berkuasa tidak mungkin dapat membendung jenayah yang semakin meningkat secara serta-merta tetapi tindakan yang telah dilakukan satu langkah positif untuk menangani keperluan mendesak.
Jelas beliau, langkah mendepani jenayah yang dilaksanakan adalah penting kerana ia dapat memberi kesan positif terhadap pengurangan jenayah serta meningkatkan keyakinan rakyat.
Justeru, katanya, NCPNA akan menyokong sebarang langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan bebas jenayah.
“NCPNA ingin merakamkan penghargaan kepada ribuan pegawai dan anggota polis yang menjalankan tugas mereka dengan tekun dan bertanggungjawab tanpa rasa takut,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment