Sunday, December 15, 2013

OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
July 24, 2013

Tweet dan retweet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (gambar) dalam Twitternya yang berlangsung  antara hari penamaan calon hingga hari mengundi untuk memikat pengundi gagal menghasilkan kesan yang diharapkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu, kata penyelidik tempatan.

Dr Surinderpal Kaur, yang menjalankan kaji selidik kesan perkhidmatan mikroblogging Twitter sebelum dan selepas pilihan raya, berkata tweet perdana menteri dibaca ramai orang tetapi kesannya kurang kerana ia berbalas hanya di kalangan pengikutnya iaitu kemungkinan cybertrooper atau pengamal media sosial berbayar.

Kaji selidik itu dijalankan berdasarkan kepada kira-kira 900,000 tweet mengenai pilihan raya. Aktiviti tweet menjadi popular pada PRU13, satu perubahan daripada pilihan raya pada 2008 apabila jaringan sosial didominasi oleh blogger.

 “Tweet perdana menteri lazimnya tersebar di kalangan mereka yang mengikutinya. Pengikutnya kemudian hanya tweet dan retweet kepada pembaca yang berada dalam jaringan mereka,” katanya di seminat pasca PRU13 di Kuala Lumpur, hari ini.

Seminar itu dianjurkan Pusat Demokrasi dan Pilihan raya Universiti Malaya (UMCEDEL), yang menjalankan beberapa soal selidik sebelum, ketika dan selepas PRU13.
Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib menang dalam pilihan raya umum itu di 133 kerusi  parlimen, kurang tujuh daripada 140 yang dimenangi pada pilihan raya 2008 ketika Tun Abdullah Badawi menjadi perdana menteri.

Surinderpal berkata, untuk mendapatkan kesan positif, pengikut media sosial Najib seharusnya menyalurkan segala maklumat dalam Twitter perdana menteri itu kepada masyarakat di luar jaringan mereka. (Retweet adalah proses mengulang semula tweet yang asal).
“Perkara ini tidak berlaku. Antara sebabnya mungkin kerana kebanyakan pengikut berkenaan mungkin cybertrooper,” katanya yang juga pensyarah kanan di UM dan felow UMCEDEL.

Secara mudahnya, beliau berkata, kegiatan Twitter perdana menteri itu mencerminkan komunikasi terbatas yang hanya terkepung antara Najib dengan mereka yang di dalam jaringannya sahaja.
“Ini antara sebab mengapa BN tewas dalam perang sibernya menentang pembangkang kerana tweet mesti mencetuskan reaksi berantai,” katanya.

Menurut socialbakers.com yang mengukur statistik jaringan sosial, Najib mempunyai 1.67 juga pengikut di Twitter sejak membuka akaun empat tahun dan 10 bulan lalu. Perdana menteri hanya membuat tweet sebanyak kira-kira 4,500 kali.

Berbanding lawan politiknya, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ihrahim hanya mempunyai 359,007 pengikut walaupun akaunnya bermula enam tahun dan empat bulan lalu. Tetapi, Anwar tweet sebanyak hampir 30,000 kali.

Surinderpal berkata, perbandingan antara jaringan pro-Pakatan Rakyat (PR) dan sebahagian rakyat Malaysia mungkin tidak mempunyai jumlah besar tetapi kesannya jelas kerana mereka berkait dengan jaringan lain.

Beliau berkata, rapat umum Black 505 anjuran PR selepas pilihan raya diketahui umum kerana informasi yang diterima daripada Twitter di sebalik kekurangan liputan mengenai aktiviti itu di media arus perdana.
Katanya, nama Anwar menjadi sebutan ramai selepas pilihan raya kerana perkhidmatan mikroblogging. – 24 Julai, 2013.
The Malaysian Insider

Categories: , , , , , , ,

0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!